Abdullah Gul adalah Presiden Turki dan Dato’ Seri Abdullah Ahmad
Badawi pula Perdana Menteri Malaysia. Nama yang sama dan kedua-duanya
adalah beragama Islam.
Pada 26 Ogos 2007 lalu agensi berita AP telah melaporkan
kehadiran isteri Menteri Luar Turki, Abdullah Gul yang bakal menjadi
Presiden negara ini telah mnejadi pertikaian hebat di kalangan
sesetengah penduduk di negara tersebut.
Pertikaian
berlaku semata-mata isteri Menteri Luar ini, Hayrunnisa memakai tudung
. Agensi berita Barat ini yang dipetik sebagai berkata, ini disebabkan
‘tudung itu melambangkan imej Islam’ yang bertentangan dengan pendirian
sekular di negara majoriti penduduknya yang beragama Islam.
Agensi Berita ini menambah, kalangan sekular berang dengan
hakikat yang mengenakan imej muslimah berkemungkinan menetap di Istana
Presiden yang sebelum ini pernah didiami Bapa Turki Moden, Mustafa
Kemal Ataturk.
Hayrunnnisa yang sememangnya bertudung sejak zaman remaja adalah
pemimpin kempen hak wanita muslim yang mengenakan tudung. Hayrunnisa
juga bukan calang wanita kerana pernah mengemukakan rayuan di Mahkamah
Hak Asasi Manusia EU untuk kekal bertudung di universiti.
Sama ada memahami konsep dan amalan Islam sepenuhnya atau tidak
Agensi Berita Barat ini meletakkan `Tudung Melambangkan Imej Islam’,
‘Imej Muslimah’, ‘Wanita Muslim’ yang mengenaikan tudung di dalam
laporan berita mereka terhadap isteri Menteri Luar Turki ini.
Abdullah Gul dan isterinya, Hayrunnisa cukup memahami Islam.
Walaupun cara pentadbirannya mengikut amalan sekular tetapi
keperibadian sebagai seorang muslim tetapi dipelihara.
Dia boleh mempengaruhi golongan ulama dan cendekiawan Islam di negara
tersebut kerana keperibadiannya ini dan menambat hati golongan sekular
dengan cara pentadbiran ekonomi dan sosial yang lebih baik.
Bagaimanapun keadaan pelik dan kurang sempurna telah berlaku
terhadap pemimpin pertama negara ini.Perdana Menteri Malaysia, Dato’
Seri Abdullah Ahmad Badawi yang cukup bersemangat dengan slogan dan
konsep Islam Hadhari , dilahirkan dari kalangan keluarga ulama,
berpendidikan Pengajian Islam dan sering digambarkan menjadi imam
ketika waktu solat (gambaran lebih jelas menjelang bulan Ramadan ini)
bersikap terlalu pelik dan separuh aneh.
Jika di petik dalam laporan Harakah (16-31 Ogos 2007) yang
lalu, dikatakan Abdullah tidak `senang hati’ dengan sepucuk surat yang
dihantar oleh Biro Agama Umno Bahagian Kepala Batas terhadap imej
isterinya, Jeanne Abdullah yang tidak menggambarkan konsep Islam
Hadhari.
Persoalan yang timbul apakah isi kandungan surat tersebut? Kenapa
Abdullah Ahmad begitu `tidak senang hati’ dengan surat ini? Apakah
benar biro Agama Umno telah menghantar hadiah `persalinan termasuk
tudung’ semasa hari pernikahan Abdullah–Jeanne dan hadiah ini turut
tidak disenangi oleh Abdullah?
Apakah yang mahu dibuktikan oleh Presiden Umno ini sehingga membenarkan isterinya tidak memakai tudung?
Apakah
yang mahu ditunjukkan oleh beliau untuk memperjuangkan konsep Islam
Hadhari (seratus peratus di dalam bahasa Arab) sedangkan isterinya
tidak menunjukan Imej Islam?
Sesuatu
yang malu dan memualkan apabila Agensi Berita Barat menyebut `Tudung
Itu Melambangkan Imej Islam’ kepada wanita Islam sedangkan anak ulama,
memegang parti yang majoriti orang Islam dengan semangat Islam Hadhari
tetapi bersikap separuh pelik dan aneh!
Apakah pula yang mahu dibuktikan oleh Abdullah ini? Apakah mahu
membuktikan dengan sikap `kesederhanaan’ demi menjaga keharmonian
negara yang berbilang bangsa dan membuktikan dirinya sebagai seorang
yang `moderat’ tetapi membenarkan isteri dan anak tidak memakai tudung?
Sesetengah penyokong beliau telah menangkis isu ini dengan mengatakan
ia adalah isu peribadi, isterinya masih Mualaf (baru memeluk Islam?),
ia hanya isu kecil dan remeh temeh dan sebagainya. Ada isu yang lebih
besar yang perlu diperjuangkan oleh pemimpin nombor satu Umno ini.
Ia bukannya isu peribadi. Isu atau hak peribadi mungkin boleh dimaafkan
kepada mereka yang tidak atau kurang berpendidikan Islam, menganggap ia
sebagai dosa kecil dan sebagainya tetapi Abdullah adalah seorang
pemimpin nombor satu negara, lahir dari kalangan keluarga ulama yang
beragama Islam, pendidikan pengajian Islam dan ketua satu yang membawa
slogan Islam Hadhari.
Tanyalah kepada guru Agama Islam, Ahli Majlis Fatwa, para
mufti, para pegawai Jakim dan pejabat Agama Islam negeri yang dikatakan
aurat seorang wanita Muslim?
Bagaimana kita mahu berdakwah kepada anak-anak, adik mahupun kakak
bahawa bertudung ini adalah wajib sebagai seorang wanita Muslim
sedangkan pemimpin nombor satu negara sendiri yang lahir dari kalangan
ulama tidak bersikap demikian?
Atau majoriti ahli dan wanita Umno yang memakai tudung terlalu sibuk
membawa slogan dan konsep Islam Hadhari tetapi ketua mereka yang
dikenali sebagai anak ulama tidak mengikut kehendak agamanya.
Untuk menambah pengetahuan, bacalah buku `Halal dan haram dalam Islam’ yang ditulis oleh Shekh Yusuf Qardhawi.
Ulama
tersohor ini masih hidup dan Kerajaan Malaysia atau parti Umno boleh
memanggil beliau untuk memberikan ceramah terutamanya dalam perkara
yang berkaitan dengan aurat muslimah.
Isu yang berkaitan dengan Islam adalah termasuk roh dan jiwa manusia
yang taat kepada Agama-Nya. Umat Islam perlu taat dan patuh walaupun
pelbagai alasan telah dicipta oleh manusia. Orang atau negara bukan
Islam boleh menganjurkan pelbagai program mengenai Islam tetapi mereka
tetap tidak menganut Islam.
Negara Thailand bukannya negara Islam. Jauh sekali pemimpin
mereka. Mereka juga tidak tahu konsep Islam Hadhari tetapi mereka
berkemampuan menganjurkan Halal-Hub yang bernilai trilion ringgit.
Singapura pula menganjurkan perbankan Islam yang bernilai berbilion
dolar.
Kita tidak perlu berfikiran terbalik. Apabila kita dilihat sebagai anak
ulama atau berpendidikan Agama, kita mahu membuktikan diri kita bahawa
kita juga boleh bersikap `terbuka’, `moderat’ untuk bergaul dengan
masyarakat bukan Islam.
Untuk maju ke hadapan kita perlu memperkukuhkan Islam termasuk peribadi
dan keluarga sendiri. Apakah kita tidak yakin dengan agama kita?
Abdullah sudah diberi peluang kedua oleh Allah SWT. Mungkin semasa
hidupnya Allahyarham Endon Mahmud mempunyai `beberapa halangan’ dan
masalah tetapi bagaimana dengan Jeanne Abdullah?
Kerana itu kita dapat merasakan `pedih dan `pilunya’ hati penyokong Abdullah di Kepala Batas yang benar-benar cintakan agamanya.
Alangkah lega dan selesanya hati mereka jika jiwa Hayrunnisa berada di negara Malaysia. - mks.
Refference :
http://www.harakahdaily.net/bm/index.php?option=com_content&task=view&id=9501&Itemid=28